Wednesday, March 9, 2011

Mencari Sakinah

Celikkan mata, kita melihat dunia.

“Akuilah, dunia kita tidak pernah menggapai kesempurnaan. Tidak aku ketahui manusia lain, tetapi aku cukup takut untuk berdepan dengan kegagalan. Manusia masing-masing punyai cabaran dan dugaan yang Allah lampirkan bersama hidupnya di dunia. Tidak akan ada manusia yang punyai segalanya. Andai kau miliki harta yang banyak,kerjaya yang gah, kereta mewah dua tiga, belum tentu lagi kau punyai keluarga yang bahagia… Kau lihat manusia lain berjaya, kau tangisi hidup menderita, sedang tidak kau sedari beruntungnya engkau memiliki peneman hidup yang setia berkongsi duka.

Aku di hari ini menangisi hidup yang diuji Illahi. Rasa lemah, putus asa. Seakan hidup tempang sedikit, walhal kupunyai nikmat lain yang melimpah ruah. Aku tidak terfikir, sedalam mana jua Allah menguji, Dia masih sayang hambaNya ini, memberi dan terus memberi. Walau aku terus buta kerana secebis nikmat ini yang ditarik.

Kulafazkan geram, manusia lain puas aku cuba fahamkan…mereka tidak mampu, bukan salah mereka kerana tidak memijak dunia yang sama dengan kita. Bagaikan layang-layang yang bersiar tanpa pemegangnya, begitulah aku memandang hidupku tika itu. Bukan aku nafikan adanya Tuhan disisiku, namun kubuntu, kerana ku tidak tahu bagaimana untuk terus bangun dan hidup. Mengharap ada yang datang, ajarkan aku langkah yang tidak canggung, semakin mengharap semakin luntur..semakin susut.”

Ini kisah seorang hamba yang seketika Tuhan mahu ajarkan erti sebenar sebuah kebahagiaan. Benar separuh hidupnya diisi kelam, hingga hatinya putus dalam mengharap. Inilah jiwa manusia, jarang sekali mengucapkan syukur, berimbun lagi nikmat yang Allah masih turunkan, khas buat dirinya. Diciptakan Tuhan agar dia berbeza dari yang biasa, supaya sabarnya membawa ke darjat yang lebih utama. Bagaikan orang berkata, “ nikmat yang Allah berikan jauh lebih besar dari apa yang kita harapkan”

Walau seperit mana kau menempuh jalan, walau kau rasa tiada siapa yang berjalan seiringan, cukuplah andai kau tahu Dia sentiasa berbelas kasihan. Tangis, bengis, resah , jerit kamu, Dia lebih tahu..

Allah maaki, setiap masa setiap waktu…sungguh Dia bersama hambaNya yang sabar.

Jangan terus luntur, jangan mengalah sudah.

Kamu, bangun… Tuhan pasti berikan bahagia, walau dari jalan yang tidak kau sangka.

Hari ini engkau tersedu, bukan bererti engkau tidak teguh..bahkan kamu diuji kerana kehebatan kamu, kerana kamu mampu! Usah cuba menjadi orang lain, kuatlah kamu menjadi diri kamu sendiri.

Sentiasalah berharap..berharap hanya pada Illahi

Kerana harapan adalah sebuah mimpi yang berjalan…



**cetusan khas yang dinukil dari mesej-mesej bermakna oleh Ustaz Asri; mencari sakinah.

Semoga sama-sama terus menggapai langit!



1 comment:

  1. Subkhanalloh, sangat keren artikeknya sob. Sukses selaluSubkhanalloh, sangat keren artikeknya sob. Sukses selalu

    ReplyDelete